Kembara Ilmu

Be a reader, be a writer, be a problem solver.


REFLEKSI BAB 2-4 (GGGE6663 : KULIAH DR.ROSSENI) : NIK NOR FASIHAH BINTI MOHD ZULKIFLI

NIK NOR FASIHAH BINTI MOHD ZULKIFLI : P130343

PERANAN REFLEKSI DALAM PENDIDIKAN

Alhamdulillah, setelah mempelajari topik peranan media dalam pengajaran berbantu komputer dan teknologi dalam persekitaran dan pendidikan, kami telah dapat mengetahui tentang teori dan elemen yang penting bagi membangunkan sesebuah media pengajaran. Seterusnya, refleksi memainkan peranan penting apabila kita membangunkan sesebuah media. Refleksi konteks pendidikan bermaksud  gambaran atau bayangan untuk menceritakan kembali perkara yang telah terjadi atau yang telah dilalui sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut Reid (1993), refleksi merupakan suatu proses aktif dan bukan pasif. Menurut beliau lagi,  “Reflection is a process of reviewing an experience of practice in order to describe, analyse, evaluate and so inform learning about practice”. Melalui refleksi guru dapat berfikir secara lebih kreatif dan kritis dalam membuat penilaian secara kendiri. Dalam proses pemikiran kritis, guru-guru perlu membuat pengubahsuaian kepada pengetahuan yang diperolehi daripada langkah-langkah pengajaran yang berlaku di dalam kelas. 

Refleksi juga berperanan dalam membantu guru untuk menjana idea-idea dalam pembangunan media yang lebih kreatif selepas mereka menguji media pembelajaran yang mereka bangunkan. Guru dapat mengenal pasti kelebihan dan kekurangan yang perlu diperbaiki selepas refleksi dilaksanakan. Seterusnya, pembangunan media yang dibina akan ditambah baik dan dapat berfungsi dengan lebih baik serta dapat digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran guru bersama murid.

PERANAN APLIKASI KOMPUTER DALAM PENDIDIKAN

Di era mileneum yang berlakunya perkembangan teknologi yang begitu pesat, Teknologi dan Multimedia sangat memainkan peranan penting dalam perkembangan dunia pendidikan. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025), Anjakan ke 7 iaitu memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia dan mengurangkan jurang digital bandar dan luar bandar.

Perkembangan arena teknologi berasaskan multimedia dalam PdP memerlukan perubahan yang holistik dalam pelbagai aspek, termasuk perbezaan perspektif dalam kalangan pendidik bagi membolehkan mereka menyusun semula peranan masing-masing agar keperluan kualiti pendidikan dapat dipenuhi dan mencapai standard satu pertiga teratas dalam kalangan negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia menjelang tahun 2050 (Muhammad Zulazizi, 2020).

Justeru, warga pendidik seperti guru berusaha untuk mengaplikasikan teknologi dan multimedia dalam PdPc mereka. Antaranya melalui penggunaan aplikasi komputer sepertiaplikasi Microsoft;Words, Powerpoint, Excel, Teams, Publisher  dan sebagainya. Selain itu, aplikasi-aplikasi untuk menyunting gambar dan video seperti  Adobe Photoshop, Illustrator dan Premiere, Wondershare, PowerDirector serta  Animate.CC sering digunakan sebagai aplikasi dalam membangunkan sesebuah media pendidikan. Di samping itu,  aplikasi seperti Firefox dan Google Chrome membantu guru untuk mencari maklumat-maklumat yang sesuai dan terkini berkaitan pedagogi dan kurikulum pendidikan.

 Aplikasi komputer yang wujud masa kini memudahkan guru dalam menyediakan Bahan Bantu Mengajar, menyelesaikan tugasan penilaian dan pentaksiran murid. Penggunaan aplikasi komputer dalam PdPC akan melibatkan beberapa aplikasi, seperti multimedia dan penggunaan. Internet berperanan membantu pengurusan dalam sistem pendidikan negara khususnya dalam pelaksanaan proses PdPc di dalam dan luar bilik darjah yang secara langsung melibatkan para pendidik, murid dan ibubapa serta ahli masyarakat.

Melalui tajuk ini, kami telah menggunakan aplikasi komputer seperti Microsoft Words untuk membina Rancangan Pengajaran Harian bagi matapelajaran Bahasa Arab Tahun 1. Kami juga merujuk Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Tahun 1 untuk membina objektif pengajaran dan pembelajaran.  Seterusnya, dengan menggunakan aplikasi Google Chrome, kami mencari maklumat-maklumat tentang bahan bantu yang sesuai dan dapat menarik minat murid untuk mengikuti proses PdPc.  Sekaligus, melalui penggunaan aplikasi komputer, ia dapat mengurangkan beban guru dan menjimatkan kos untuk membina bahan bantu mengajar kerana ia dibina di atas talian dan boleh diakses pada bila-bila masa.

PEMBANGUNAN MEDIA & PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN MEDIA

Berdasarkan kuliah bersama Dr.Rosseni, media didefinisikan sebagai satu idea yang diterjemahkan dalam bentuk maujud dan disampaikan ke pengetahuan umum. Media juga membantu proses pendemokrasian pembelajaran untuk semua pelajar yang berbeza personaliti dan gaya belajar malah memberi peluang kepada mereka yang tidak dapat menterjemahkan idea hebat dari kotak pemikiran mereka dalam cara konservatif seperti kertas dan lisan.

Bagi membangunkan sesebuah media, guru perlu menggunakan model reka bentuk pembangunan media bagi memastikan media yang dibina sah dan boleh dipercayai dalam memberikan impak dalam PdPc. Dr. Rosseni telah memperkenalkan Model UDin atau Model Rengkas yang membincangkan fasa-fasa dalam kajian pembangunan media.

TIGA PERKARA ASAS DALAM PENYELIDIKAN REKA BENTUK MEDIA

Terdapat tiga perkara asas dalam membangunkan media pengajaran dan pembelajaran  iaitu penentuan objektif atau hasil pembelajaran.  Kedua menentukan cara pentaksiran yang akan memberikan jawaban samada pelajar telah dapat mencapai hasil atau objektif pembelajaran yang ditentukan.  Ketiga adalah menentukan strategi pembelajaran untuk membantu pengajar atau pembimbing sesi pembelajaran membawa pelajar ke arah mencapai hasil atau objektif pembelajaran yang telah ditentukan .

Melalui tiga perkara asas ini, kami dapat mengetahui arah tuju cara untuk membina media pengajaran yang betul dan sahih. Awalnya kami telah menentukan objektif pembelajaran, teori dan strategi yang digunakan dalam membina media pembangunan. Setelah itu, kami juga perlu memilih kaedah penilaian yang sesuai dengan tahap kognitif murid dan mudah diakses oleh murid menggunakan media. Kami telah memilih aplikasi Wizer.me. bagi membina penilaian yang bersesuai dengan topik Bahasa Arab. Seterusnya, bagi perekodan dan penilaian markah murid, kami telah memilih aplikasi ClassDojo yang bersifat holistik dan boleh merekod dari sudut kognitif dan nilai murni yang murid perolehi. Melalui aplikasi ini juga, selain daripada guru, ibu bapa serta murid boleh melihat pencapaian mereka secara atas talian. Hal ini akan menyebabkan ibu bapa dan murid lebih peka dan sentiasa bersungguh-sungguh untuk meningkatkan lagi kualiti pembelajaran mereka.
APLIKASI WIZER.ME

Berpandukan Model UDin@RENGKAS serta panduan tiga asas dalam pembangunan media pendidikan, kami dapat merancang dengan lebih sistematik pembangunan media yang kami akan bangunkan.

RUJUKAN

Muhammad Zulazizi Mohd Nawi. 2020. Transformasi pengajaran dan pembelajaran multimedia dalam pendidikan Islam: Satu perbincangan. Journal of ICT in Education. 7(2), 14-26. https://doi.org/10.37134/jictie.vol7.2.2.2020

Rosseni Din. 2020. Penyelidikan Reka Bentuk & Pembangunan Media (DDR) Fasa 1: Analisis & Kebolehlaksanaan. [https://rosseni.wordpress.com/2021/06/21/phd-rosnah-ahmad-zain-ddr-type-i/]

SEKIAN, TERIMA KASIH 🙂



Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started